Monday, September 9, 2013

Tanggapan salah mengenai Qada' N Qadar

Seringkali didengar mengenai rungutan dan keluhan sebilangan umat islam bahawa beriman kepada qada’ dan qadar merupakan antara punca kemunduran atau kelemahan umat islam hari ini. Sejauh manakah dakwaan atau rungutan ini. Lantas penelitian mendalam perlu dilakukan untuk memahami maksud qada’ dan qadar serta kaitan antara keimanan kepada qada’ dan qadar dengan kemunduran dan kelemahan umat islam. Definisi qada’ ialah pengetahuan Allah SWT mengenai segala apa yang berlaku di dalam alam ini. Bila seseorang itu mengetahui dan yakin bahawa setiap apa yang berlaku di alam ini adalah sebagaimana yang diketahui Allah SWT,ini membawa pengertian bahawa dia telah beriman dengan qada’ Allah SWT. Manakala pengertian qadar ialah Allah mengadakan sesuatu itu tepat sebagaimana yang di ketahui oleh ilmuNya yang azali
Sekiranya kita memahami maksud qada’ dan qadar sebagaimana yang dikehendaki oleh islam,apakah terdapat kaitan antara mengetahui bahawa setiap sesuatu itu berlaku dengan kehendak Allah SWT  dengan sebab kemunduran dan kelemahan  umat islam?
Keimanan dengan qada’ dan qadar tidak mempunyai kaitan dengan tingkah laku manusia. Ini kerana keimanan kepada qada’ dan qadar merupakan sebahagian daripada keimanan dengan Allah SWT dan sifatNya. Sementara tingkah laku manusia lahir daripada suruhan dan larangan Allah SWT.
Allah SWT memerintah kita supaya mengimarah dan memajukan ala mini sama ada dari sudut material atau spiritual sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud “ Dia telah menciptakan kamu daripada tanah dan menjadikan kamu sebagai pemakmurnya(bumi)”.(Hud:61) begitu juga Allah telah memerintahkan umat manusia supaya meneroka seluruh pelusuk alam ini untuk mendapatkan segala bentuk hasil kekayaan yang terkandung di dalamnya,sebagaimana firmanNya yang bermaksud “ Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah daripada sebahagian rezekiNya. Dan hanya kepadaNya lah kamu kembali setelah di bangkitkan”.(al-mulk:15)
Allah SWT juga memerintahkan kita supaya mematuhi segala ajarannya dalam segala tingkah laku kita dan dia menjanjikan kita dengan kejayaan serta kekuasaan di atas dunia ini,sebagaimana firmanNya yang bermaksud “ Dan Allah telah berjanji kepada orang yang beriman diantara kamu dan mengerjakan amal soleh bahawa Dia sesungguhnya akan menjadikan mereka berkuasa di bumi ini sebagaimana Dia menjadikan orang sebelum ini berkuasa dan Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah di redhaiNya untuk mereka”. (An-nur:55). Lantaran dari pada itu seseorang yang beriman kepada Allah SWT dan mengetahui perintahNya akan melaksanakan segala perintah itu dengan penuh tanggungjawab dan bersungguh-sungguh. Dengan demikian,perasaan malas,putus asa dan menyerah tanpa usaha tidak akan lahir dalam jiwa mereka.
Allah SWT yang mentaklifkan hamba-hambaNya supaya beriman dengan qada’ dan qadar tidak pernah berkata ‘jadilah kamu hamba yang malas’. Namun apa yang diperintahkan adalah supaya kita sentiasa berusaha dengan penuh keikhlasan sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud, “ Dan katakanlah: bekerjalah kamu,maka Allah dan rasulNya serta orang yang beriman akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata lalu diberikanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan”. (At-Taubah : 105)
Begitu juga Allah SWT memerintahkan kita supaya berjihad sebagaimana firmanNya yang bermaksud , “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya,Dia telah memilih kamu Dan dia tidak sekali-kali menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan”. (Al-Hajj : 78)
Sekiranya kita memerhatikan sejarah umat islam silam,kita kan mendapati contoh-contoh perjuangan mereka yang unggul. Mereka Berjaya membina tamadun islam yang cemerlang dalam masa tersebut. Lihatlah pada kemunculan kerajaan islam di Andalus yang Berjaya membina sebuah tamadun yang agung,sama ada dari sudut ilmu,akhlak, mahupun seni bina. Apakah sesebuah tamadun sehebat ini boleh wujud dan lahir dari kalangan golongan manusia yang lemah dan malas?  Sudah tentu tidak!!
Mereka yang menganggap bahawa umat islam hari ini mundur kerana mempercayai qada’ dan qadar sebenarnya tidak memahami makna hakiki qada’ dan qadar. Generasi awal umat islam yang terdiri daripada para sahabat r.a merupakan satu contoh yang unggul mengenai keyakinan mereka terhadap Rukun Iman. Begitu juga mereka merupakan contoh ketekunan dan kesungguhan dalam pelaksanaan apa jua bentuk perintah Allah SWT. Mereka turut mengerjakan kerja-kerja seharian mereka berasaskan tuntutan untuk melaksanakan segala perintah Allah SWT. Justeru,mereka Berjaya membina tamadun islam dalam masa yang amat menakjubkan.

Sementara umat islam yang begitu ramai dewasa ini ialah umpama buih dilautan . mereka tidak mempunyai kekuatan kerana tidak berpegang dengan prinsip-prinsip islam yang jelas. Keyakinan mereka terhadap Rukun Iman begitu rapuh. Dalam menempuh cabaran kehidupan,mereka sekadar bergantung kepada orang lain dan mengikut apa yang telah di rancang oleh pihak barat. Negara umat islam menjadi tempat lambakan barangan dari Negara-negara bukan islam. Oleh itu kelemahan dan kemunduran umat islam hari ini adalah disebabkan kelalaian mereka dan ia tiada kaitan dengan keimanan mereka kepada qada’ dan qadar.

No comments:

Post a Comment