Wednesday, August 7, 2013

syawal menjelma lagi..

Kita sudah menghampiri gerbang penghujung Ramadhan. Sebagai seorang mukmin, kerinduan dan kecintaan kita sangat mendalam terhadap Ramadhan kerana ia memberikan kita momen bersama Tuhan yang penuh kemanisan.
Semoga kita beroleh taqwa daripada Ramadhan kali ini.
Menghampiri penghujung Ramadhan bermaksud kita juga mendekati awal Syawal, yang tidak asing lagi bagi kita iaitu sambutan Eidul Fitri.
Maka, di sini, dikongsikan beberapa adab menyambut Aidilfitri. Semoga dapat menjadi panduan serba sedikit untuk kita menyambutnya dalam keadaan tetap taat kepada Allah s.w.t.

1)  Mandi, memperelokkan diri dan memakai pakaian yang terbaik
Disunatkan untuk lelaki dan wanita memakai pakaian terbaik yang ada pada mereka, tidak kiralah sama ada pakaian itu adalah pakaian baru atau lama, putih atau selain putih.
Ibn Qoyyim telah berkata : Rasulullah s.a.w. telah memakai pakaian terbaiknya untuk kedua-dua hari itu (Eidul Fitri dan Eidul Adha) dan baginda mempunyai pakaian tersendiri yang dipakainya untuk hari raya dan hari Jumaat.

2) Makan sebelum keluar menunaikan solat raya
Anas berkata : “Nabi s.a.w. tidak keluar di hari Eidul Fitri sehinggalah baginda makan beberapa biji tamar, dan baginda telah makan tamar itu dalam jumlah yang ganjil.” [HR Bukhari, Ahmad]
Buraidah berkata : “Nabi s.a.w. tidak keluar di hari Eidul Fitri sehinggalah baginda makan, dan tidak makan di hari Eidul Adha sehinggalah baginda pulang.” [HR Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad]

3) Disunatkan wanita-wanita muslimah keluar di hari raya untuk bersama di dalam perhimpunan hari raya dan mendengarkan nasihat dari khutbah
Daripada Ummu Atiyyah, katanya : “Kami disuruh (oleh Rasul s.a.w.) untuk mengeluarkan (semua wanita) sama ada anak dara dan juga wanita haid pada kedua-dua hari raya (Eidul Fitri dan Eidul Adha) untuk menyaksikan kebaikan dan dakwah (nasihat) orang-orang Islam dan diasingkan wanita haid daripada tempat solat.”
Tetapi para wanita hendaklah mengambil berat tentang adab-adab semasa mereka berada di luar seperti tidak mengenakan perhiasan melampau, bersolek dan mengenakan wangian untuk memelihara dirinya daripada fitnah sekiranya mereka bersama dengan lelaki ajnabi. Sekiranya mereka hanya berada di rumah atau di kalangan wanita sahaja, maka tidak ada masalah untuk mengenakan perhiasan yang cantik atau wangian.

4) Disunatkan melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan pulang dari tempat solat
Daripada Jabir r.a. dia berkata : “Nabi s.a.w. pada hari raya membezakan jalan (pergi jalan yang lain, pulang jalan yang lain).” [HR Bukhari]
Daripada Abi Hurairah r.a. dia berkata : “Nabi s.a.w. sekiranya keluar untuk hari raya baginda akan pulang mengikuti jalan lain dari jalan yang (telah digunakannya) untuk pergi tadi.” [HR Muslim, Ahmad, Tirmizi]

5) Bertakbir di hari raya
Bertakbir di hari raya adalah sunnah yang agung. Berdasarkan firman Allah s.w.t.:
“Dan cukupkanlah bilangannya dan bertakbirlah (mengagungkan) Allah ke atas petunjuk yang diberikan kepadamu agar kamu bersyukur.” [Al-Baqarah : 185]
Waktu bertakbir adalah bermula dari malam raya iaitu ketika terbenam matahari akhir Ramadhan sehinggalah bermulanya solat raya.

6) Mengucapkan tahniah di hari raya serta menunjukkan wajah yang ceria dan penuh senyuman kepada saudara-saudara muslim
Daripada Jabir bin Nafir, dia berkata : “Para sahabat Nabi s.a.w. apabila bertemu pada hari raya mereka akan berkata sesama mereka ‘Taqabbal minna wa minka- Semoga Allah menerima (amal) dari kami dan dari kamu.’ Al-Hafiz berkata : Sanad ini adalah hasan.
Syeikh Salman Audah telah memberi komentar :
“Tidak diragukan lagi bahawa ucapan tahniah ini adalah dari tanda kemuliaan akhlak, dan manifestasi kepada hubungan kemasyarakatan dalam kalangan muslim, dan ia mempunyai kesan-kesan yang baik dalam menguatkan ikatan dan hubungan, menyuburkan kecintaan sesama muslim …” [Ahkam Al-E’idin]

7) Menunaikan solat sunat hari raya
a) Hukum solat hari raya
Ulama’ berbeza pendapat tentang hukum solat sunat hari raya. As-Syafiiah dan Al-Malikiah berpendapat ia adalah sunat muakkad. Sementara Al-Hanafiah berpendapat ia adalah wajib bagi sesiapa yang wajib ke atasnya solat Jumaat, hanya saja ada pengecualian pada kewajipan mendengarkan khutbah dan bilangan makmum. Al-Hanabilah pula berpendapat bahawa ia adalah fardhu kifayah bagi sesiapa yang mempunyai keterikatan dengan solat Jumaat.

b) Kaifiah Solat Sunat Hari Raya
- Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah
- Ditunaikan selepas waktu larangan (selepas terbit matahari), di dalam mazhab Syafie disebutkan setelah matahari naik sepenggalah [Ruj : Fiqh Ala Mazahib Arba’ah]
- Bilangan rakaat hanya sebanyak 2 rakaat
- Niat dan rakaat pertama bermula dengan 7 kali takbir tidak termasuk takbiratul ihram.
- Setiap kali takbir diselangi dengan tasbih, tahmid dan takbir. Diriwayatkan bahawa tidaklah ada zikir tertentu daripada Nabi s.a.w. ketika selang di antara takbir ini, tetapi disebutkan oleh Ibn Mas’ud, “Di setiap antara dua takbir, bertahmidlah kepada Allah, dan pujilah Allah s.w.t.” [Majmu’ Fatawa]
- Selepas 7 kali takbir, Imam memulakan membaca surah Al-Fatihah. Disunatkan Imam untuk membaca surah (Qaf) atau surah (Al-A’la).
- Kemudian rukuk dan sujud seperti biasa.
- Memulakan rakaat kedua dengan takbir. Kemudian diikuti dengan 5 takbir selepas itu. Diselangi setiap takbir dengan tasbih, tahmid dan takbir.
- Selepas 5 kali takbir, Imam memulakan membaca surah Al-Fatihah. Disunatkan membaca surah (Al-Qamar) atau surah (Al-Ghashiyah)
- Surah-surah yang disunatkan membaca ini tsabit dalam hadis riwayat Muslim.
- Imam mengakhiri solat sunat seperti biasa (rukuk, sujud, tahiyyat, beri salam).

c) Khutbah disampaikan selepas solat sunat hari raya Eidul Fitri
Khutbah selepas solat sunat hari raya adalah sunat dan mendengarnya pun adalah sunat.
Daripada Abdullah bin Saib dia berkata : “Aku menyertai Rasulullah s.a.w. dalam solat Eid, ketika selesai menunaikan solat, baginda bersabda : “Kami akan berkhutbah, barangsiapa yang mahu duduk (mendengar) khutbah, maka duduklah dan barangsiapa yang mahu pergi, maka pergilah.” [HR An-Nasai’, Abu Dawud dan Ibn Majah]
Sebaik-baiknya adalah kita duduk seketika mendengarkan nasihat-nasihat dari khutbah serta mengambil peluang bersalam-salaman selepas tamat khutbah dan saling mengucapkan tahniah.

8) Berhibur, makan-makan dan bernyanyi-nyanyian di hari raya
Tidak ada masalah untuk berhibur, makan-makan atau bernyanyian selama mana hiburan, makan-makan dan nyanyian itu adalah yang baik dan tidak melanggar batas-batas syariat.
Hari ini, ramai yang bila berhibur di hari raya terus melupakan batas-batas syariat Islam.
Pergaulannya tidak terjaga, auratnya didedahkan sesuka hati, berpakaian terlalu ketat atau terlalu nipis, bernyanyi dengan nyanyian yang melalaikan, berhibur sehingga mengabaikan solat dan seruan Allah yang fardhu, membazir dalam berbelanja dan menyediakan jamuan makan.
Wajar diperhatikan dan dihindarkan hal ini agar hari raya tidaklah menjadi sebab kita mendapatkan kemurkaan Allah setelah sebulan Ramadhan kita berusaha mengejar rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya.

Penutup : Ramadhan Pergi, Syawal Mengiringi, Mari Terus Menjadi Hamba Rabbani
Beberapa catatan adab dan hukum fiqh berkaitan Eidul Fitri ini diharapkan dapat menjadi panduan serba sedikit dalam kita menghidupkan suasana ibadah di hari raya ini.
Eidul fitri adalah anugerah dari Allah s.w.t. untuk hamba-hambaNya.
Orang yang benar-benar memanfaatkan Ramadhan ini dengan penuh keimanan dan mengharapkan redha Allah, maka Eidul Fitri adalah hari yang sangat besar erti bagi dirinya dalam konteks hubungannya dengan Allah.
Tetapi bagi orang yang menjalani Ramadhan dengan ala kadar, tidak menghayati roh ubudiah kepada Allah di dalam Ramadhan, maka Eidul Fitri ini tidaklah ada makna besar apa bagi dirinya melainkan faedah materialisme dan duniawi semata-mata.
Semoga Ramadhan yang pergi, Syawal yang mengganti tidak menyebabkan kita kembali bermaksiat dan berdosa kepada Ilahi. Syawal dan bulan-bulan yang seterusnya, marilah kita terus menjadi hamba Rabbani, yang terus tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. dalam segenap kehidupannya.

Rujukan :
1) Fiqh Sunnah, Sayyid Sabiq
2) Fiqh Ala Mazahib Arba’ah, Syeikh Abd Rahman Al-Jaziri
3) Sohih Fiqh Sunnah, Abu Malik Kamal Sayyid Salim
 #copypastedariblog#

No comments:

Post a Comment